Perutusan Ketua Pengarah
- Admin
- May 5, 2017
- 1 min read

PERUTUSAN KETUA PENGARAH Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti
Assalamualaikum WBT dan salam sejahtera.
Kerajaan telah merencanakan Rancangan Malaysia Ke 11 sebagai langkah
transformasi terakhir demi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju
berpendapatan tinggi menjelang 2020. Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh
kerajaan antaranya Model Ekonomi Baru (MEB), Pelan Transformasi Kerajaan
(GTP), Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) dan Bidang Ekonomi Utama Negara
(NKEA) sebagai landasan bagi memacu ekonomi negara. Seiring itu, bidang
pendidikan dan latihan teknik dan vokasional (TVET) diperlukan bagi memenuhi
tuntutan penyediaan guna tenaga. TVET merupakan aspek proses pendidikan selain
pendidikan umum yang melibatkan pembelajaran dalam bidang teknologi dan sains
berkaitan, dan juga latihan kemahiran praktikal, sikap, pemahaman dan
pengetahuan tentang pekerjaan dalam pelbagai sektor ekonomi dan kehidupan
sosial.
Dalam merealisasikan hasrat kerajaan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia 2015 – 2025 (Pendidikan Tinggi), Kolej Komuniti sedaya upaya
memastikan graduan TVET yang dihasilkan berkualiti, berketerampilan dan
memenuhi permintaan industri. Justeru, pelaksanaan latihan industri dalam
lapangan sebenar menjadi asas persediaan kepada semua bakal graduan kolej
komuniti sebelum mereka melangkah ke alam pekerjaan. Selaras dengan itu, garis
panduan ini dilihat sebagai satu asas dalam aspek pengurusan dan penilaian latihan
industri yang dijalankan di kolej komuniti agar proses pelaksanaannya lebih tersusun
dan mampu mencapai hasil pembelajaran yang telah digariskan.
Akhir kata, saya ingin merakamkan setinggi penghargaan dan tahniah kepada
Bahagian Kolaborasi dan Keusahawanan, Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti serta
semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menerbitkan
Garis Panduan Pelaksanaan Latihan Industri Kolej Komuniti. Semoga dengan
penerbitan garis panduan ini memberikan impak yang besar kepada graduan kolej
komuniti demi memacu kemajuan negara.
PPj. Kehormat (PA) Dato’ Amir bin Md. Noor
Ketua Pengarah
Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti
Kementerian Pendidikan
Comentários